Thursday, December 11, 2014

Bahasa yang bernama PUISI



Aku penggemar puisi-puisi Melayu.
Meskipun tidak pandai mengarang puisi,
mahupun bercanda dengan seloka dan pantun,
namun aku amat menikmati kemanisan puisi.


Kebelakangan ini aku banyak menulis dalam bahasa Inggeris.
Kerana aku ingin memantapkan bahasa Inggerisku.
Akibat terlalu banyak membaca, menulis dan mendengar segala yang berbentuk ke'inggeris'an, dalam 
mimpi, aku bercakap bahasa Inggeris. Haha.


Walaupun aku ini, penggemar puisi, tak semua aku baca. Aku memilih berdasarkan tajuk. Dan juga 
keindahan bahasa yang terkandung di dalamnya. Kebanyakannya yang terkait dengan segala yang berkitar
 dalam hidupku. (Selfish, huh?)


Dan walaupun aku ini penggemar puisi, ada yang aku mengerti dan sebahagian yang lain tidak. Semuanya 
kerana keindahan bahasa. Ianya suatu magis yang membuatkan aku terawang-awang dalam imaginasi dan 
khayalan sendiri.

Aku penggemar karya-karya Siti Zainon Ismail dan Kemala.
Semalam, semasa membelek-belek majalah Dewan Sastera, aku terjumpa sebuah puisi hasil tulisan Kemala. Indah 
sekali. Dan paling penting terbaru.


PADA POROS LANGIT SELAT MELAKA

Bahasa langit menyatu dengan bahasa samudera. Lengkung kubah
tenang yang tabah, air pasang dalam yang resah
abad yang terketar, terlantar dan sakit. Insan terus di gerigis rahang musibah.
Betapa pun damai kata yang terkurung dalam kamus tebal dan berdebu
tamadun dan sahsiah apakah omong kosong?
Dan, angka nol tetap cantik di mata kekasih. Aku merindui cium pertama dulu dan tetes air mata syahdu
di tahajud bersambut kilat dan guntur.
Pada poros langit Selat Melaka aku merendam kenangan kelibat wajah
bersarang sayang dan dendam bersayap buana di benua jauh
benderang dan gemerencang tambur perang dan pedang berlaga
darah lengket dan basah. Sudah hapuskah bahasa mistikal Rumi dan Fansuri
eskapisme mabuk dan anggur Li Po. Anatomi dan turso perawan di Istana Larangan. Kini hidup dalam
magistik selirat abstraksi Picasso dan kegilaan Van Gaugh, Melayunya Ibrahim Hussein
masa sama dengan para mujahid yang syahid demi kekasih utama
Haurin yang mencari perindu sejati, ayat-ayat yang membelai
Merungkai rahsia dalam rahsia. Masa kujemu merenung porosmu.
O Langit dan Selat Melaka
Pancang poros dan turus tujuh petala, masih tetap kucari cinta
Yang hilang dan pulang
Ke haribaan-Mu. Beribu puisi cinta yang kutulis untukmu
Namun kau si bisu yang tak mengenal erti cinta dan ombak aksara.

Kemala
Port Dickson-Kuala Lumpur
30-31 Julai 2014



Kalau di kalangan rakan-rakanku, aku suka membaca karangan sahabat sekuliah, Najihah Hassan.
Karangannya cantik berlapik, namun tepat membidik.

Apa yang boleh aku simpulkan, puisi-puisi Melayu sememangnya indah. Terutama yang klasik.
Zaman sekarang, tak ramai yang pandai berpuisi. Contohnya aku. Seni warisan yang hilang. Aku kira, waktu zaman kegemilangan Melayu, siapa-siapa sahaja pandai berpantun dan berpuisi.


notakaki : Antara antologi cerpen zaman sekolah menengah yang paling terkesan dalam hati, KERANA MANISNYA EPAL oleh Faisal Tehrani

No comments: