Showing posts with label My Youthful Escapade. Show all posts
Showing posts with label My Youthful Escapade. Show all posts

Friday, August 1, 2014

Sebelum Beraya (cerita raya 1)



'Landmark' Parit Mentara

Tidak adil rasanya kalau aku asyik bercerita tentang negeri Terengganu yang baru beberapa kali aku kunjungi dan teruja dengan suasananya.

Sedangkan Bagan Serai sudah ada dalam catatan hidupku sepanjang kehidupan ini.


Kawasan sawah padi yang telah dituai dan di'bersih'kan

Bagan Serai, atau dalam sebutan orang-orang Banjar, Bagan Sarai, adalah tempat abah membesar. Meskipun abah dilahirkan di Singapura, berikutan kekangan pekerjaan Tok Wan sebagai askar British, namun kampung halamannya adalah Bagan Sarai, Kerian, Perak.







Kesan hitam tersebut merupakan prosedur biasa yang dilakukan untuk mengelakkan rumput tumbuh setelah padi dituai. Awas! Rumput adalah musuh tradisi tanaman padi. 






'kunci' tali air


Bagan Serai : Lapang dan hijau 









Bagan Serai adalah sebuah pekan kecil yang terletak di daerah Kerian, Perak. Kedudukannya yang terletak ke utara membolehkan penduduk setempat memasuki Penang dengan cepat. Daerah Kerian merupakan kawasan sawah padi. Luasnya, saujana mata memandang. Kiri dan kanan adalah kawasan sawah yang berwarna hijau dan coklat. Saliran air atau parit turut menghiasi landskap pertanian ini. 

Pagi

Amalia dan Adi Hidayat

Laluan kecil di sawah padi

Menurut abah, kini, kawasan sawah padi kekurangan tenaga kerja untuk mengusahakannya. Hanya mesin yang akan dihidupkan untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Mungkin juga, dengan anak-anak kampung yang telah membesar dan berhijrah ke bandar, menyebabkan kekurangan tenaga kerja. Kalau dahulu, parit-parit sering menjadi tempat 'berkubang' anak-anak desa kecil ini. Sekarang tiada lagi. Abah sempat berseloroh, " Sebab tu budak zaman dulu-dulu pandai berenang, tak macam budak zaman sekarang" (kalau ibu bapa tak hantar kelas renang). 



Saujana mata memandang






Berada di kawasan kunci tali air yang berfungsi mengairi saliran untuk tujuan penanaman padi


Jambatan


Bunga Kembang Pagi yang tumbuh subuh berhampiran tali air








Hampir semua yang menetap di daerah Kerian turun temurun adalah urang-urang Banjar yang berhijrah daripada Kalimantan, Indonesia.

Ya, kami ini bersusur galur Banjar. Darah yang dipam ke seluruh urat-uratku adalah Melayu-Banjar. Abah urang Banjar, mama orang kampung (Melayu). Beraya di Perak adalah kegembiraan bagi kami adik beradik. Kampung kami yang satu lagi terletak di Jengka, Pahang. Tok Wan mama adalah bekas peneroka FELDA.Tetapi aku fikir, aku dan adik-adikku lebih menyukai suasana di Perak. Mama dilahirkan di Semanggol. Berdekatan dengan tempat abah. Saudara mara mama dan abah ramai yang menetap di Perak. Sedangkan di Pahang, tidak banyak rumah yang dapat kami ziarahi berbanding di negeri Darul Ridzuan.

Bersambung........





Friday, July 11, 2014

Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu



27.06.2014


7: 08 am



Selamat pagi dunia! Gigih berjalan ke pantai awal pagi hanya untuk melihat matahari terbit usai solat subuh. Kawasan pantai ini adalah yang berdekatan dengan Intan Beach Resort. Walaupun namanya 'Intan', pemiliknya adalah Cina.





7: 45 am




Di sempadan gigi air ketika air pasang. Sekarang, air surut.




7: 50 am




Ketam ini ditangkap oleh penduduk tempatan di pinggir pantai. Tidak perlu menggunakan jala atau bubu.Apa yang diperlukan adalah beberapa batang buluh yang diruncingkan dihujungnya serta  kepala ayam mentah. Cucuk kepala ayam ke bahagian yang runcing dan pacakkan batang tersebut di dalam air. Tidak perlu ke kawasan yang dalam. Cukup sekadar ketika air di paras pangkal tapak kaki.

Macam mana hendak pastikan samada umpan telah mengena atau tidak? Sekiranya buluh bergerak-gerak, itu tandanya sudah ada ketam yang terlekat pada kepala ayam itu tadi. Bagaimana boleh tersekat? Kerana penyepit ketam tersangkut pada kulit ayam.

Dan pada masa ini jugalah, aku belajar bagaimana hendak memegang ketam yang masih hidup. Jangan pernah bermula dari depan kerana 'senjatanya' iaitu penyepit, di bahagian hadapan. Sebaliknya pegang di bahagian belakang badan ketam. Dengan cara itu, anda terselamat daripada penyepit ketam.

Apa lagi?

Oh ya. Ianya sesuatu yang menyeronokkan dan memuaskan keinginanku selama ini. Dulu, kalau jalan-jalan pergi ke kawasan air terjun, mesti ada sampah yang berlonggok ataupun yang terapung-apung dalam air. Aku rasa geram. Sebab manusia tak tahu nak menghargai keindahan alam semulajadi. Dan aku rasa sedih sebab aku tak dapat nak tolong. Jadinya, bila aku kesini, kelihatan sampah sarap di merata-rata hasil orang berkhemah atau bersuka ria di tepi pantai. It's not good. Dan aku pelik juga kenapa orang tak ada rasa tanggungjawab untuk membersihkan kawasan tersebut. Hanya mengharapkan pekerja-pekerja pembersihan. Berbekalkan plastik shopping, aku pun sumbat seberapa banyak botol dan plastik ke dalam plastik shopping tadi dan buang dalam tong sampah besar berdekatan dengan tempat penginapan kami sekeluarga. 
Rasa gembira sebab dapat melakukan sesuatu, walaupun ada rasa terkilan sebab tak ada plastik besar hitam. Hahah.

p/s : Kalau ke sini lagi, aku nak naik kereta kuda.


Saturday, May 7, 2011

part-time job


Alhamdulillah..

waaa...seronoknya.
Dua perkara yang menyeronokkan atau mungkin dua part-time job :

1. Semalam adalah hari pertama merasa dapat gaji setelah berpenat-penat bekerja..:-)

Dan 2 Mei merupakan hari bersejarah dalam hidup sebab aku bekerja buat pertama kalinya seumur hidupku...

Walaupun tak banyak, tapi berbaloilah sebab aku bekerja sebagai 'nanny' di sebuah taska untuk budak-budak bawah daripada satu tahun.

Kerja itu pun barlangsung selama empat hari. Ganti orang sekejap. Tapi tak apa. Sebab pengalaman seperti itu sangat berharga..:-)

Hari pertama bekerja, rasa 'tension', sebab tak biasa jaga budak. Adik pun dah besar. Susah sebenarnya jaga budak. Terutama dalam jumlah yang agak ramai. Bila seorang menangis yang lain pun ikut nangis ataupun bila seorang dah berhenti menangis setelah penat 'nanny' memujuk, tiba-tiba budak lain pula nangis. Penatkan? Memang menguji kekentalan kesabaran.

Seperkara lagi, rasa agak janggal bila adikku yang gendut, Alya bertanya seperti ini,

"Kakak nak pergi mana?"

"Kakak nak pergi kerja.."

-rindu nak balik UIA, nak belajar lagi, kerja sangat memenatkan-

2. Percubaan pertama jualan blueberry cheesetart agak memberansangkan. Yang ini lebih seronok dan bahagia untuk dilakukan..:-)

Monday, November 22, 2010

Membaca sebahagian daripada hidupku




Aku bukanlah orang yang bijak tetapi aku suka membaca.
Tabiatku ini tidak bermula sedari awal usia, sebaliknya ketika aku berumur 9 atau 10 tahun.
Aku sendiri tidak berapa ingat.
Namun, aku masih ingat lagi buku pertamaku yang mama belikan. Siri Penyiasatan Lima Sekawan, terbitan Fargoes. Aku tidak pasti samada Fargoes masih wujud atau tidak. Mama membelikan aku 4 judul daripada 18 judul, dan aku habiskan keempat-empat judul tersebut dengan sukanya. Tetapi sayang sampai sekarang aku hanya menghabiskan empat judul tersebut dan tidak membaca kesemua lapan belas judul. Aku sendiri pun tidak ingat kenapa. Buku-buku tersebut mama belikan tanpa kupinta dan merekalah pencetus minat membacaku.
Aku juga bukanlah orang yang pandai dan petah berbahasa Inggeris.
Tetapi aku punya minat terhadap lingua franca itu.
Aku dilahirkan di dalam sebuah keluarga Melayu tipikal yang bahasa pengantarnya hanya bahasa Melayu.
Kami juga jamah ikan kering, sambal belacan, tempoyak dan petai. Sebuah keluarga Melayu biasa. Sederhana.
Sejak kecil, aku tidak pernah mengambil serius hal pelajaran. Aku suka main. Aku dan dunia kanak-kanakku. Menangis apabila diusik. Tidak peduli perasaan orang lain. Yang penting aku gembira. Zaman kanak-kanak yang penuh dengan ketidakpedulian terhadap orang lain. Hanya aku, aku dan aku.
Walaupun begitu minat terhadap bahasa Inggeris wujud selepas UPSR. Ah! Apa yang aku peduli dengan peperiksaan itu.
Suatu hari, aku ke perpustakaan yang terletak di Presint 8. Aku pun mencari bahan bacaan yang bisa menarik perhatianku. Dan aku jumpa ia. MY SECRET UNICORN. Aku suka buku itu. Aku ingin jamah isinya. Ada apa dengan haiwan bernama Unicorn itu? Malangnya ianya berbahasa Inggeris dan mempunyai beberapa judul.
Namun entah dari mana kekuatan dan desakan yang kuat datang dari dalam diriku, aku gagahkan diri meminjam dan membacanya di rumah.Akhirnya aku berjaya juga menghabiskan beberapa judul buku tersebut walaupun tidak kesemuanya, tapi aku puas.
Abahlah yang mengajar aku buka kamus. Dahulu, abah sekolah Inggeris. Jadi aku suka bertanya kepadanya sekiranya terdapat perkataan yang tidak aku fahami. Namun begitu, abah selalu memarahi aku kerana malas membuka kamus. Dari situ aku terima didikan secara langsung daripada abah. Dan hari ini, kamus menjadi pakej pelengkap koleksi buku-bukuku.
Seperti yang aku katakan kepada kamu, aku bukanlah orang yang bijak. Sebab itu, sampai sekarang kamus sentiasa berada di sisiku bilamana aku ingin membaca buku, terutama buku berbahasa inggeris.

Walaupun kini bahan bacaan boleh didapati di internet, pilihan pertama tetap bahan bacaan yang dicetak diatas kertas, buku, majalah, surat khabar dan lain-lain.

Kini usia ku sudah mencecah 19 tahun. Genre pembacaan juga sudah berubah. kegilaan aku terhadap buku-buku sejarah kian menebal. Dan sejarah selalu berkait dengan geografi, ilmu kemanusiaan dan falsafah. Bahan yang dibawa untuk pembacaan ku juga bertambah. Selain kamus, aku memerlukan peta dunia dan internet ataupun ensiklopedia. Memahami sejarah bukanlah boleh dilakukan hanya di dalam buku tersebut, perlu banyak rujukan dalam setiap perkataan baru yang datang. Bagiku amat sukar untuk menghabiskan buku sejarah dalam satu hari. Dan aku akui aku sendiri banyak berimaginasi dalam usaha untuk memahami sejarah.

Aku bukanlah orang yang bijak.
MEMBACAlah yang menambah keyakinanku, meluaskan pemandanganku, melapangkan dadaku, mengubat kesedihanku, mengajar aku menjadi insan berintegriti dan mengajakku berfikir.

AKU SUKA MEMBACA, BERFIKIR, MENULIS DAN AKAN BERTERUSAN BEGITU HINGGA AKHIR HAYATKU DENGAN IZIN ALLAH.