Wednesday, July 9, 2014

Buku yang mencerahkan



Sejujurnya, selama hidupku, aku tidak pernah merasa nikmat membaca buku-buku agama sepertimana membaca novel. Untuk pengetahuan semua, novel yang aku maksudkan bukanlah novel cinta yang cliche dan picisan. Sebaliknya, novel yang berbentuk thriller dan pengembaraan. Semuanya harus bergabung dalam satu buah buku. Dan terus terang aku katakan bahawa aku ini peminat novel RAM. Haha.

Buku-buku agama selalunya menjadi tempat rujukan. Dan kadang-kadang hanya menyelak bahagian yang aku ingin tahu. Entah kenapa. Buku agama sepatutnya menjadi medan mencambah rasa ingin tahu. Sejujurnya, jarang sekali aku menemui buku yang subjeknya agama dan isinya membuatkan kita rasa gembira dan tercerah pada setiap muka surat.

Atau mungkin aku ini terlalu kotor jiwanya.



Sekarang ini, aku lagi menelaah sendiri buku karangan Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin. Sebelum ini, aku telahpun mengikuti diskusi berkaitan buku ini anjuran Intellectual Youth Club IIUM yang dibentangkan oleh Saudara Khayrul Rijal dari CASIS. Perbincangan bersiri tersebut agak 'berat' tetapi hasilnya adalah pencerahan dan kepuasan.

Buku ini membincangkan masalah dasar umat Islam. Masalah yang datang dari sudut pemikiran dan kepercayaan. Segala perkara yang mungkin kita ragu tetapi didiamkan selama ini. Sebenarnya aku back to basic. Tapi itu yang aku mahu. Memahami dari akar umbi. Tentang sebab dan kenapa. Keluar dari kepompong perbincangan hukum yang banyak dibincangkan masa ini.

Aku tidak mengatakan yang hukum itu tak penting. Justeru aku menafikannya. Hukum Allah itu penting supaya hidup sebagai seorang Muslim lebih tersusun dan sistematik. Akan tetapi setiap hukum yang akan kita amalkan perlu ada kefahaman dan rasa cinta. Sebab itu aku merangkak mencari cinta itu meskipun dalam keadaanku yang lagha.

Untuk menjadi Muslim yang sejati, kita perlu mengenali hakikat batin agama Islam itu sendiri. Kembali kepada konsep sejarah dan falsafah Islam.

Sejujurnya aku jatuh cinta dengan buku ini setelah jatuh cinta kepada karya-karya Ustaz Hasrizal dan buku Bidayatul Hidayah karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Kelas akan bersambung apabila tiba musim semester panjang beberapa bulan lagi. Tak sabar!


No comments: