Saturday, October 4, 2014
Laporan polis
Aku tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang pengamal undang-undang.
Tetapi, aku sendiri yang memilih bidang ini setelah menamatkan pengajian di sekolah menengah.
Semua, punya cerita.
Yang tidak semestinya diceritakan.
Aku, agak enggan menjadi seorang pengamal undang-undang yang tegar setelah masa berlalu.
Namun, aku tidak dapat menafikan bahawa pengajian yang hampir empat tahun di Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim ini, berjaya membentukkan satu 'acuan' dalam diriku.
Semalam, pada waktu hampir subuh, adikku pulang dari Terengganu untuk bercuti.
Dua beg hilang, hanya kerana sedetik kealpaan.
Meskipun tiada barang berharga yang lesap, melainkan baju-baju busuk dan 'khazanah' ilmu, namun, dia menangis. Mungkin terkejut. Pertama kali berjauhan dari keluarga untuk tempoh yang lama. Dan juga pertama kali beg dicuri. Cemas.
Tiada laporan polis yang dibuat, kerana kedua orang tuaku perlu bergegas ke pejabat setelah mengambil adikku.
Berhadapan dengan situasi seperti ini, otakku mula ligat mencari penyelesaian.
Aku kira, kedua orang tuaku mungkin terkejut dan mati akal tentang bagaimana untuk berbuat ketika menghadapi situasi tersebut.
Pada hematku, meskipun kebarangkalian untuk ketemu barang-barang tersebut adalah tipis, laporan polis masih penting untuk dilaporkan.
Malah, aku sendiri agak skeptikal, kerana banyak lagi kes yang lebih 'besar' yang perlu diuruskan oleh pihak polis. Dibandingkan dengan situasi adikku, ini hanya kes kecil.
Namun, kita perlu sedar, kecil atau besar sesuatu kes jenayah, jenayah tetap jenayah. Dan itulah falsafah kerjaya kepolisan.
Aku fikir, tak semestinya kita perlu terlalu berharap untuk mendapatkan semula barang yang hilang. Tetapi, laporan yang kita buat itu, sebagai tanda 'penggera' supaya kawasan tersebut dikawal lebih rapi pada masa hadapan. Supaya, orang lain tidak dianiaya oleh orang-orang seperti ini. Supaya penjenayah tersebut mendapat balasan yang setimpal.
Dan,
Supaya kita tahu hak dan tanggungjawab kita sebagai apapun posisi kita dalam hidup.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment