Monday, November 22, 2010

Membaca sebahagian daripada hidupku




Aku bukanlah orang yang bijak tetapi aku suka membaca.
Tabiatku ini tidak bermula sedari awal usia, sebaliknya ketika aku berumur 9 atau 10 tahun.
Aku sendiri tidak berapa ingat.
Namun, aku masih ingat lagi buku pertamaku yang mama belikan. Siri Penyiasatan Lima Sekawan, terbitan Fargoes. Aku tidak pasti samada Fargoes masih wujud atau tidak. Mama membelikan aku 4 judul daripada 18 judul, dan aku habiskan keempat-empat judul tersebut dengan sukanya. Tetapi sayang sampai sekarang aku hanya menghabiskan empat judul tersebut dan tidak membaca kesemua lapan belas judul. Aku sendiri pun tidak ingat kenapa. Buku-buku tersebut mama belikan tanpa kupinta dan merekalah pencetus minat membacaku.
Aku juga bukanlah orang yang pandai dan petah berbahasa Inggeris.
Tetapi aku punya minat terhadap lingua franca itu.
Aku dilahirkan di dalam sebuah keluarga Melayu tipikal yang bahasa pengantarnya hanya bahasa Melayu.
Kami juga jamah ikan kering, sambal belacan, tempoyak dan petai. Sebuah keluarga Melayu biasa. Sederhana.
Sejak kecil, aku tidak pernah mengambil serius hal pelajaran. Aku suka main. Aku dan dunia kanak-kanakku. Menangis apabila diusik. Tidak peduli perasaan orang lain. Yang penting aku gembira. Zaman kanak-kanak yang penuh dengan ketidakpedulian terhadap orang lain. Hanya aku, aku dan aku.
Walaupun begitu minat terhadap bahasa Inggeris wujud selepas UPSR. Ah! Apa yang aku peduli dengan peperiksaan itu.
Suatu hari, aku ke perpustakaan yang terletak di Presint 8. Aku pun mencari bahan bacaan yang bisa menarik perhatianku. Dan aku jumpa ia. MY SECRET UNICORN. Aku suka buku itu. Aku ingin jamah isinya. Ada apa dengan haiwan bernama Unicorn itu? Malangnya ianya berbahasa Inggeris dan mempunyai beberapa judul.
Namun entah dari mana kekuatan dan desakan yang kuat datang dari dalam diriku, aku gagahkan diri meminjam dan membacanya di rumah.Akhirnya aku berjaya juga menghabiskan beberapa judul buku tersebut walaupun tidak kesemuanya, tapi aku puas.
Abahlah yang mengajar aku buka kamus. Dahulu, abah sekolah Inggeris. Jadi aku suka bertanya kepadanya sekiranya terdapat perkataan yang tidak aku fahami. Namun begitu, abah selalu memarahi aku kerana malas membuka kamus. Dari situ aku terima didikan secara langsung daripada abah. Dan hari ini, kamus menjadi pakej pelengkap koleksi buku-bukuku.
Seperti yang aku katakan kepada kamu, aku bukanlah orang yang bijak. Sebab itu, sampai sekarang kamus sentiasa berada di sisiku bilamana aku ingin membaca buku, terutama buku berbahasa inggeris.

Walaupun kini bahan bacaan boleh didapati di internet, pilihan pertama tetap bahan bacaan yang dicetak diatas kertas, buku, majalah, surat khabar dan lain-lain.

Kini usia ku sudah mencecah 19 tahun. Genre pembacaan juga sudah berubah. kegilaan aku terhadap buku-buku sejarah kian menebal. Dan sejarah selalu berkait dengan geografi, ilmu kemanusiaan dan falsafah. Bahan yang dibawa untuk pembacaan ku juga bertambah. Selain kamus, aku memerlukan peta dunia dan internet ataupun ensiklopedia. Memahami sejarah bukanlah boleh dilakukan hanya di dalam buku tersebut, perlu banyak rujukan dalam setiap perkataan baru yang datang. Bagiku amat sukar untuk menghabiskan buku sejarah dalam satu hari. Dan aku akui aku sendiri banyak berimaginasi dalam usaha untuk memahami sejarah.

Aku bukanlah orang yang bijak.
MEMBACAlah yang menambah keyakinanku, meluaskan pemandanganku, melapangkan dadaku, mengubat kesedihanku, mengajar aku menjadi insan berintegriti dan mengajakku berfikir.

AKU SUKA MEMBACA, BERFIKIR, MENULIS DAN AKAN BERTERUSAN BEGITU HINGGA AKHIR HAYATKU DENGAN IZIN ALLAH.

2 comments:

fatin safi said...

kte tau kwn kte memang hebt bab membaca nie.. that why i always remember u kalu bab2 sejarah n tokoh2 islam nie... all the best my frenz...

AfiqahRazak said...

hehe..tq, senyum sokmo!