Sebelum aku mula membaca Negeri 5 Menara, karya anak Belitong itu sudah terlebih dahulu aku baca. Sekaligus menempatkan Andrea Hirata tersenarai di dalam 'Top: My Favourite Novelists List'. Pada pandanganku sebagai mahasiswa kecil, Andrea Hirata merupakan seorang penulis yang berbakat besar pada masa yang sama beliau merupakan seorang yang merendah diri.
Kali pertama membaca Laskar Pelangi, aku teruja. Bahasanya cantik, aura motivasi mengalir dari setiap sudut tulisannya. Yang paling menarik hatiku, humor yang digunakan halus dan berseni. Sangat memikat.
Rentetan daripada itu aku terus membeli buku sambungannya, Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov. Cumanya buku terakhir kurang menyengat. Mungkin kerana penulis banyak menggunakan elemen mistik yang mana aku sendiri kurang pasti kesahihannya. Mungkin separuh adalah daripada imaginasi beliau.
Aku akui, pertama kali membaca Negeri 5 Menara yang ditulis oleh Ahmad Fuadi, rasa untuk membandingkannya dengan Laskar Pelangi memang ada. Tema yang diangkat oleh kedua-dua penulis itu sama iaitu menggapai impian dan cita-cita. Namun pendekatan yang diambil berbeza. Aspek itulah yang menghalang aku daripada membanding-banding kedua buku tersebut kerana masing-masing punya kekuatan dan keistimewaan tersendiri.
Di dalam Negeri 5 Menara, persoalan yang banyak ditekankan adalah bagaimana seharusnya pendidikan itu dilaksanakan dan isu-isu seperti kedudukan sekolah agama sebagai sekolah untuk pelajar kelas kedua dan kebawah diangkat.
Manakala Andrea Hirata lebih menekankan perjalanan hidupnya sendiri serta orang-orang hebat yang ditemui sepanjang perjalanan hidupnya. Di sini juga isu sekolah agama diangkat dalam karyanya yang pertama.
Bagiku filem Laskar Pelangi terbitan Riri Reza adalah satu usaha yang baik dan hebat. Bayangkan zaman sekarang orang lain berlumba-lumba membuat filem aksi ataupun filem kisah percintaan, tetapi hanya segelintir yang berjiwa besar akan buat filem seperti ini. Kalau difikirkan, keseronokan dan keuntungan mudah dikaut nmelalui genre filem seperti ini. Tetapi tidak bagi filem yang memberi inspirasi.
Aku suka dengan latar Belitong yang cantik. Pemilihan pelakon pun bagus dan hebat-hebat. Cuma seperti selalu apabila karya novel cuba diterjemahkan ke filem tidak semua babak yang dibuat. Jadinya kurang 'feel'. Sang Pemimpi sudah lama ditayangkan di Indonesia. Di Malaysia rasanya tidak ada lagi. Jadi aku akan menunggu.
Mungkin Negeri 5 Menara juga akan difilemkan. Entah kenapa, tulisan mereka berjaya membuka mataku tentang Indonesia. Orang Indonesia hebat-hebat. Mentaliti rakyat Malaysia yang memandang rendah terhadap rakyat Indonesia hanya kerana ramai yang datang kesini sebagai pembantu rumah dan buruh binaan harus di buang. Hebat itu tidak terletak pada kemajuan negara dan setinggi mana kita belajar. Hebat itu macam-macam. Contohnya macam bibik saya....:-)
In list :
1. Padang Bulan dan Cinta dalam Gelas Kaca - Andrea Hirata
2. Ranah 3 Warna - Ahmad Fuadi
1 comment:
Saya rasa tak semua rakyat Malaysia berpikiran negatif tentang Indonesia, semua ada kelebihan dan kekurangan masing2, tak ada yang sempurna.
Post a Comment